6.12.08

Calon tepat penentu kemenangan BN


Faktor calon akan menjadi penentu kepada kemenangan bagi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu yang selewat-lewatnya diadakan pada awal Januari ini.Setiausaha Umno bahagian Kuala Terengganu, Ibrahim Omar berpendapat ketuanya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga timbalan menteri dalam negeri, calon terbaik untuk mewakili BN."Calon terbaik BN ialah Datuk Wan Ahmad Farid kerana faktor kewibawaannya menerajui bahagian Kuala Terengganu sejak empat tahun lalu.

"Orang senang dengan penampilan beliau yang mudah didekati pada bila-bila masa, bukan sahaja di kalangan orang Umno tetapi juga orang ramai," kata Ibrahim kepada Malaysiakini hari ini."Ini yang penting kepada seorang pemimpin terutama di parlimen Kuala Terengganu yang juga merupakan kawasan kuat PAS."Menurutnya, jika BN meletakkan orang lain selain Wan Ahmad Farid, peluang BN menang adalah 50-50.

Ibrahim berkata, dari maklum balas yang diperolehinya, semua ketua cawangan Umno bahagian menyokong Wan Ahmad Farid sebagai calon BN.Bagaimanapun, tambahnya, BN akan hadapi saingan sengit daripada PAS dalam pilihanraya kecil itu nanti.Kawasan parlimen tersebut, katanya lagi, merupakan kubu kuat PAS apabila memenangi tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum, Mac lalu.Kerusi-kerusi tersebut ialah Ladang, Batu Buruk dan Wakaf Mempelam.




Manakala BN menang di DUN Bandar yang diwakili oleh MCA. Bagaimanapun Ladang, yang umumnya sukar dimenangi pembangkang, dimenangi PAS baru-baru ini dengan 31 undi sahaja. PAS juga pernah menguasai kerusi DUN ini pada 1999.Bagi Kuala Terengganu pula, calon BN Datuk Razali Ismail menang dengan majoriti tipis sebanyak 628 undi apabila menewaskan calon PAS Mohamad Sabu dan seorang calon bebas, Maimun Yusuf.Kerusi itu kini kosong ekoran kematian Razali, Jumaat lalu.

No comments: