6.12.08

P/raya Kecil Kuala Terengganu Berbeza Dengan Permatang Pauh, Kata Najib


KUALA TERENGGANU, 5 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam keadaan berbeza berbanding di Permatang Pauh kerana kawasan itu sebelum ini, dimenangi calon parti berkenaan.Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN perlu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berbanding di Permatang Pauh, yang sebelum pilihan raya kecil, kawasan itu diwakili calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)."Ini merupakan negeri yang ditadbir oleh BN dan kawasan Parlimen kita (BN)... kita pertahankan kerusi.

Keadaan di sini (Parlimen Kuala Terengganu) tidak boleh dibandingkan dengan keadaan di Permatang Pauh," katanya.Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis tahlil Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail di Lorong Kenanga, Batu Burok di sini, Jumaat malam.Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian Allahyarham Razali, dipercayai akibat serangan jantung, di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Jumaat lepas.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ialah pada 6 Jan depan dan jika ada pertandingan hari mengundi ialah pada 17 Jan.

Ditanya mengenai corak dan kempen yang akan dilaksanakan BN bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau akan mengumumkan perkara itu selepas mendapat gambaran sebenar daripada Umno Terengganu."Kita akan beritahu kemudian. Tujuan saya datang ke sini adalah bertemu dengan pemimpin di peringkat Jawatankuasa Bahagian. Selepas itu, baru dapat gambaran sebenar keadaan di sini," katanya.Mengenai tarikh pengundian pilihan raya kecil itu, Timbalan Perdana Menteri berkata SPR menetapkan tarikh berkenaan selepas mengambil kira faktor cuaca yang melanda Terengganu pada masa ini.

Beliau berpendapat SPR membuat keputusan menetapkan tarikh pengundian pada bulan depan kerana jika diadakan bulan ini, terdapat kemungkinan hujan akan berterusan.Mengenai tempoh kempen selama 11 hari, Najib berkata BN akan menghadapinya dan akan membuat persediaan seperti biasa dalam menghadapi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menyifatkan pemergian Allahyarham Razali sebagai satu kehilangan besar kepada bidang pendidikan negara khususnya dan negara amnya.Beliau berkata komitmen Allahyarham semasa menjadi Timbalan Menteri Pelajaran dan sebelum memegang jawatan itu, adalah amat luar biasa dalam memajukan bidang berkenaan.

Selepas menghadiri majlis tahlil, Najib mengadakan pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Terengganu di Terengganu Equestrian Resort di sini, sebelum berlepas pulang ke ibu negara.-- BERNAMA

No comments: