9.12.08

Kawalan lebih ketat - Syed Hamid


KUALA TERENGGANU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, berdasarkan kepada beberapa kejadian tidak diingini di Terengganu pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, polis akan mengadakan kawalan lebih ketat pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.


Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan seramai 80,229 pemilih berdaftar di kawasan itu dapat menunaikan tanggungjawab mereka.

"...kerana ada pengalaman lalu, mereka (polis) akan lebih berjagajaga dan kita minta orang ramai supaya jangan mudah untuk memberi kad pengenalan kepada orang lain.


"Saya juga meminta manamana parti supaya tidak menggunakan tindakan agresif untuk mengagalkan dan menyekat orang ramai daripada mengundi mahupun semasa mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya kecil itu nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat mengenai perkembangan terkini banjir dan persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.


Syed Hamid berkata, orang ramai seharusnya sedar bahawa kad pengenalan adalah hak mereka dan tidak ada pihak yang boleh meminta dan merampas kad itu daripada mereka.


Katanya, jumlah anggota polis yang akan ditugaskan dalam pilihan raya kecil itu nanti adalah lebih ramai berbanding bilangan anggota yang ditugaskan semasa pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lepas memandangkan kawasan Parlimen Kuala Terengganu lebih luas.


Beliau juga mengingatkan semua parti politik supaya menghormati undangundang dan peraturan yang ditetapkan sepanjang proses pilihan raya itu nanti.


"Pilihan raya kecil ini adalah proses demokrasi...ia hidup dengan subur selagi kita mengikut prosedur undang-undang, kita perlu hormat undang-undang dan peraturan.

"Kerajaan kita pun adalah sebuah kerajaan yang mengetahui tangungjawabnya dan sebab itu kita tengok negara kita apapun yang berlaku, kerajaan dapat mempertahankan keamanan dan kenteraman awam melalui agensi yang berkenaan," katanya.

Syed Hamid yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno menjangkakan pilihan raya kecil itu akan menyaksikan persaingan sengit antara calon yang bertanding.


"Panas sebab pembangkang nak rampas kerusi dari kita... sebab ini adalah kerusi BN dan kita akan pertahankannya.

"Pada saya, pilihan raya kecil macam ini tidak boleh diambil mudah, kita perlu kerja keras untuk pastikan kemenangan kita (BN)," katanya.


Malah, katanya BN juga tidak menganggap kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebagai kerusi mudah kerana pihak pembangkang akan menggunakan pelbagai taktik untuk memenangi pilihan raya kecil itu.


Nota : Harap YB pun tak ambil kesempatan untuk kempen pemilihan umno ye...hi hi hi..kita nak lawan PAS bukan nak lawan sama sendiri di Kuala Terengganu ni.

No comments: