9.12.08
PM: Kami mahu menang lawan PAS
Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa parti itu bekerja keras jika ingin memenangi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu pada bulan depan.
"Kita mahu menang. Kita mahu menang. Kita mesti ada keyakinan, sebab itu kita kata boleh menang. Kita ada sokongan kuat dan kita perlu bekerja keras," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu lebih tiga jam hari ini
Majlis Tertinggi BN bagaimanapun belum membincangkan calon yang bakal menghadapi saingan sengit PAS.
Tambah Abdullah, yang juga presiden Umno, berkata parti itu akan mengumumkan calonnya dalam masa yang terdekat.
BN akan berdepan dengan calon PAS yang ghairah merampas kerusi tersebut selepas tewas tipis dengan 628 undi dalam pilihanraya umum lalu.
Ditanya oleh wartawan sekiranya ada pengundi akan beralih arah untuk menyokong pembangkang, beliau berkata:
"Tidak buat masa sekarang. Awak tahulah politik, awak tidak dapat meramal bagaimana pengundi ingin beralih arah. Mereka mempunyai kecenderungan beralih arah sekalipun pada minit-minit terakhir, sama ada ke arah kita (BN) atau lawan."
Mengulas ugutan PPP untuk keluar BN jika kerajaan gagal meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), perdana menteri berkata kerajaan tidak bercadang untuk berbuat demikian.
"Tidak ada rancangan untuk meminda kata tersebut. Jika itu pilihan mereka (PPP), apa yang kita boleh buat," tegas Abdullah.
Akhir bulan lalu, presiden parti komponen itu Datuk M Kayveas mendesak kerajaan mengkaji semula akta kontroversi tersebut sebelum pilihanraya umum yang ke-13 diadakan ataupun parti itu akan meninggalkan BN.
Kayveas bagaimanapun tidak hadir dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi BN. Difahamkan beliau berada di luar negara.
Dalam sidang media yang sama juga, Abdullah berkata BN memutuskan untuk mengadakan konvensyen Februari depan bagi menyusun langkah baru susulan prestasi buruk parti dalam pilihanraya umum lalu.
Katanya, BN sedang meninjau pandangan pemimpin-pemimpin masyarakat untuk mendapatkan maklum balas mereka berhubung kemerosotan tersebut.
Nota : Kami orang Kuala Terengganu tetap mendoakan agar Pak Lah kekal sebagai PM selepas Mac 2009 ini- Inilah harapannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment