7.12.08

Umno Bahagian Kuala Terengganu serah senarai calon lepas 9 Disember


PETALING JAYA: Umno Bahagian Kuala Terengganu akan menyerahkan senarai calon-calon yang akan dicadangkan bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas mesyuarat persediaan jentera pilihanraya 9 Disember ini

Ketua Umno bahagian itu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata Umno bahagiannya akan membuat beberapa cadangan kepada Badan Perhubungan Umno negeri untuk ditapis.

"Ikut prosedurnya, seperti biasa kita akan kemukakan beberapa cadangan (nama) kepada Badan Perhubungan (Umno) negeri untuk ditapis.
"Selepas itu barulah Umno negeri akan hantar senarai nama yang difikirkan sesuai itu kepada Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) untuk diputuskan," katanya ketika dihubungi mStar Online semalam.
Jelas beliau perkara untuk menentukan calon mana yang layak bertanding bagi kerusi Parlimen berkenaan bukan terletak kepada bidang kuasa Umno bahagiannya.

Sebaliknya kata beliau ia menjadi tanggungjawab jawatankuasa Pengurusan BN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
"Harus diingat, mesyuarat yang akan diadakan nanti fokusnya bukanlah kepada pemilihan calon.

"Ia lebih kepada persediaan yang akan diambil oleh Umno bahagian untuk menghadapi pilihanraya kecil itu nanti...itu agenda utama," katanya.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong selepas kematian penyandangnya sebelum ini Allahyarhan Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat lalu.

Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan Calon Bebas, Maimun Yusof dalam pilihanraya umum Mac lalu dengan majoriti 628 undi.

Dalam pada itu Ahmad Farid berkata beliau berkeyakinan BN akan dapat mengekalkan kemenangannya di kerusi Parlimen berkenaan memandangkan Allahyarham Razali telah berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

"Allahyarham telah tinggalkan platform yang kukuh kepada calon penggantinya selepas ini kerana bagitu banyak perubahan dan kemajuan yang dilakukannya selama empat tahun berkhidmat sebagai ahli Parlimen," katanya.

Tambah beliau lagi laluan untuk calon yang bertanding atas tiket BN itu nanti dilihat lebih mudah kerana prestasi yang begitu memuaskan oleh penyandangnya selama ini.

No comments: