10.12.08

Badan Perhubungan tentukan calon??

Umno bahagian Kuala Terengganu menyerahkan kepada badan perhubungan negeri untuk menentukan calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil parlimen tersebut.

Difahamkan Umno negeri akan mengadakan menyuarat secepat mungkin bagi membincangkan pemilihan calon tersebut.

Ahli jawatankuasa Umno Kuala Terengganu, Sulaiman Ali memberitahu Malaysiakini, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat khas Umno bahagian malam tadi.

"Kita langsung tidak membincangkan isu calon kerana mahu menyerahkannya kepada badan perhubungan Umno negeri.

"Mesyuarat malam tadi hanya membincangkan mengenai persiapan jentera pilihanraya parti peringkat bahagian bagi menghadapi pilihanraya kecil tersebut," katanya hari ini.

Mengulas sikap bahagian itu yang enggan menyerahkan nama calon, setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan berkata:

"Kenapa harus kita (badan perhubungan) yang pilih (calon)?

Sepatutnya mereka (bahagian) memberikan (cadangan calon) kepada kita, selepas itu barulah kita serahkan kepada (Umno) pusat."

Ketika dihubungi, Rosli menambah, badan perhubungan Umno negeri akan bermesyuarat esok.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada isu pemilihan calon parlimen Kuala Terengganu akan dibincangkan atau tidak.

Mesyuarat bahagian itu yang dipengerusikan ketua bahagian Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh - yang diura-urakan calon terbaik BN di kerusi tersebut - berlangsung kira-kira dua jam.

Semua AJK Umno bahagian hadir kecuali Senator Datuk Roslan Awang Chik yang difahamkan tidak berada di Terengganu.

Selain Wan Ahmad Farid yang juga timbalan menteri, calon-calon lain yang disebut-sebut termasuklah Roslan dan ketua penerangan Umno negeri, Datuk Zuber Embong.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, hujung bulan lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari sebagai hari penamaan calon dan 17 Januari sebagai hari mengundi.

Sulaiman yang juga ketua Umno cawangan Kampung Kuala Ibai berkata, mesyuarat khas malam tadi telah membincangkan secara mendalam persiapan dan strategi parti bagi menghadapi pilihanraya berkenaan.

Dalam pilihanraya kali ini, Umno memperkenalkan taktik K-5 atau satu anggota Umno memantau lima keluarga pengundi, berbanding K-10 sebelum ini yang dianggap “terlalu ramai” untuk diselia, tambahnya.

Katanya lagi, Wan Ahmad Farid dilantik sebagai pengarah peringkat bahagian pilihanraya kecil parlimen berkenaan, manakala timbalan pengarah diserahkan kepada Mohd Sabri Alwi.

"Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Umno akan mengadakan mesyuarat bagi membentuk jentera pilihanraya maisng-masing," katanya.

Sulaiman menambah, Umno juga mengenal pasti ada tempat tertentu di empat DUN dalam kawasan tersebut yang boleh dianggap sebagai kawasan gelap atau sukar dimenangi BN.

“Kita juga menjangka pembangkang akan menggunakan isu lapuk seperti Piala Monson dan Masjid Kristal sebagai bahan utama kempen mereka.

"Tetapi kita telah bersedia untuk menjawabnya," katanya.

Seorang lagi AJK bahagian Asmadi Awang ketika dihubungi mengesahkan isu calon tidak dibincangkan dalam mesyuarat khas tersebut.

Katanya, bahagian menyerahkan calon ditetapkan oleh badan perhubungan Umno Terengganu.