
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Foon Meng sebaik sahaja Dewan itu bersidang pada pukul 10 pagi.
Bagaimanapun, pelantikannya pada kali ini hanya akan bertahan selama kira-kira dua minggu kerana beliau dijangka meletakkan jawatan itu pada 5 Januari ini, sehari sebelum tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Langkah itu bagi membolehkan beliau bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan yang ditetapkan pada 17 Januari depan.
Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November lalu.
Wan Ahmad Farid, 46, yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri adalah lulusan ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Thames Valley, United Kingdom.
Beliau yang dilahirkan di Kuala Terengganu pernah berkhidmat sebagai peguam syarie dan Setiausaha Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu.
Turut mengangkat sumpah hari ini ialah Naib Ketua Wanita UMNO Terengganu, Fatimah Hamat, iaitu lantikan baru mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Fatimah, 58, adalah seorang bekas guru yang berkelulusan diploma pendidikan pada 1972.
Beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Negeri Terengganu pada 2007.
Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com