12.12.08

Jangan kempen bersifat provokasi - Mat Said


KEKALKAN KEMENANGAN BN DI KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU: Penyokong parti-parti politik digesa tidak mengambil pendekatan provokasi ketika berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan depan, bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, mereka perlu berfikiran rasional serta memahami suasana pilihan raya mengikut proses demokrasi.


"Parti atau pihak yang akan terlibat dalam pilihan raya kecil nanti diminta tidak mengambil tindakan bersifat provokasi kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kejadian tidak diingini.


"Ini kerana terdapat pemimpin atau penyokong parti-parti politik yang cepat melatah dan bertindak balas apabila tindakan provokasi dilakukan. Ini yang tidak bagus," katanya kepada pemberita selepas majlis korban Aidiladha sempena Jamuan Rakyat, di Kubang Ikan di sini, hari ini.


Sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan untuk majlis Jamuan Rakyat Aidiladha yang akan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini, esok.


Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau tidak mahu melihat berlakunya insiden kekecohan terutama dengan kehadiran orang luar yang akan "berkampung" di sini pada pilihan raya kecil tersebut.


"Janganlah bergaduh kerana selepas orang luar balik, kita tetap akan sentiasa bertemu," katanya.


Dalam pada itu, beliau yakin polis dapat memastikan keselamatan orang ramai terjamin sepanjang pilihan raya kecil tersebut.


Mengenai dakwaan wujudnya pengundi "hantu" pada setiap kali pilihan raya, beliau berkata, jika pihak terbabit memahami demokrasi, dakwaan tersebut sepatutnya tidak timbul.


Beliau berkata, orang ramai termasuk pelajar yang tinggal di luar Terengganu berhak pulang mengundi jika nama mereka terdapat dalam senarai pengundi.


"Sistem pilihan raya kita bersifat telus. Jika tidak, bagaimana pembangkang boleh menang di lima negeri pada Pilihan Raya Umum ke12 lepas," katanya.

Pemuda Umno Terengganu guna blog tarik pengundi muda


KUALA TERENGGANU: Pemuda Umno Terengganu akan mewujudkan laman blog khas sebagai satu daripada strategi untuk mendekati golongan pengundi muda dalam menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan.


Ketua Pemuda Umno negeri yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Mohad Sabri Alwi berkata, pergerakan itu menyedari golongan muda pada masa kini banyak terdedah kepada lamanlaman blog sedangkan banyak maklumat yang dimuatkan itu kadangkala kurang tepat.


"Menyedari hakikat itu, kita akan menyediakan satu blog untuk menerangkan tentang isuisu semasa kepada golongan pengundi muda yang gemar melayari internet terutama mereka yang bekerja di luar Terengganu.


"Kita sedar golongan belia terutama yang berada di luar banyak terdedah dengan maklumat yang kurang tepat mengenai kerajaan dan dengan adanya blog ini nanti, kita berharap dapat mendekati golongan terbabit," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Beliau berkata, penerangan yang tepat amat penting memandangkan 48 peratus daripada 80,229 pemilih berdaftar di kawasan Parlimen Kuala Terengganu merupakan kalangan belia yang berumur 40 tahun ke bawah.


Katanya cadangan parti pembangkang untuk mencalonkan golongan muda untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu jelas menunjukkan belia mempunyai pengaruh besar.


Beliau juga berkata semua jentera pergerakan Pemuda di semua bahagian telah digerakkan untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.


"Saya yakin semua ahli Umno akan bersatu untuk menghadapi pilihan raya nanti," katanya yang yakin Barisan Nasional tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.


Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Razali Ismail bulan lepas kerana serangan jantung. BERNAMA