28.2.09

Analisis: Isu lapok punca BN K Trg Kecundang

ISU pembangunan, pendidikan, bantuan kewangan, peluang pekerjaan dan calon yang mempunyai kelulusan akademik yang baik, ternyata tidak dapat mempengaruhi serta menarik pemilih supaya mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu (P036), 17 jan lalau.

Malah, cuaca cerah dari pagi hingga petang tidak memihak kepada calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, untuk mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi Allahyarham Datuk Razali Ismail dengan majoriti 628 undi pada pilihan raya umum lalu.

Kekalahan dengan majoriti 2,631 undi itu ternyata memberi kesan besar kepada kerajaan BN selepas kepemimpinan parti, termasuk menteri yang berkampung di Kuala Terengganu selama 12 hari sejak penamaan calon, 6 Januari 2009 yamg lalu gagal mempengaruhi pengundi supaya memilih BN.

BN yang diwakili Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu hanya memperoleh 30,252 undi, Pas oleh Mohd Abdul Wahid Endut (32,883), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam 193 undi.

Daripada 36 tempat mengundi undi di Parlimen Kuala Terengganu, BN hanya menang besar undi pos apabila memperoleh 1,039 undi, Pas (86), manakala calon Bebas, satu undi.

Apa yang mengejutkan daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) - Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Ladang - yang dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum lalu, Pas kali ini melebarkan pengaruh apabila mendapat sokongan ramai bukan Melayu di DUN Bandar.

Di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad dalam DUN Wakaf Mempelam misalnya, Pas terus mendapat sokongan padu apabila meraih 850 undi, manakala BN hanya 451.

Dua hari sebelum pengundian, pemimpin Umno yang ditugaskan berkampung di Wakaf Mempelam yang diwakili Mohd Abdul Wahid, begitu yakin bahawa kawasan itu akan memihak kepada BN berdasarkan penerimaan penduduk ketika kempen dari ke rumah ke rumah.

Keputusan pilihan raya kecil ini jelas menunjukkan kepemimpinan parti semua peringkat perlu menghayati peringatan yang pernah dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa lebih ramai ahli Umno yang mengkritik calon berbanding pembangkang. Apakah ‘peteh keting’ akan terus menjadi duri dalam daging pada setiap kali pilihan raya.

Kritikan berkenaan kini diterjemahkan dalam peti undi semalam apabila Wan Farid yang melepaskan jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Dewan Negara untuk bertanding kali pertama tewas dengan majoriti yang lebih besar. Terengganu yang mempunyai dua orang timbalan menteri sebelum ini hanya tinggal seorang Menteri, iaitu Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Antara faktor kekalahan Wan Ahmad Farid ialah hubungannya dengan pengundi dikatakan kurang mesra dan belum dikenali, walaupun memenangi jawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu tanpa bertanding pada pemilihan parti, Oktober lalu.

Isu pembangunan kini dilihat sudah tidak relevan pada era globalisasi berbanding 1960-an kerana pemilih menganggap tanggungjawab menyediakan kemudahan asas, termasuk institusi pengajian tinggi dan perumahan adalah tugas Kerajaan Pusat.

Pas pula terus mencanangkan isu Islam yang berjaya memenangi sokongan pengundi Melayu yang mewakili 88 peratus pengundi, manakala pemilih pula tidak lagi melihat kepada kemampuan parti, sebaliknya lebih melihat kepada faktor kewibawaan, peribadi dan latar belakang calon.

Kempen dan kritikan melampau oleh laman portal atau blog yang banyak menjurus kepada keburukan dan kelemahan pentadbiran kerajaan dilihat berjaya mempengaruhi pemilih muda, terutama mereka yang berusia 40 tahun ke bawah.

Kini 63,993 pemilih sudah membuat pilihan dan Mohd Abdul Wahid sudah disahkan menang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya kecil ini. Sewajarnya semua pihak menghormati keputusan itu dan tidak lagi mengemukakan petisyen bantahan selepas ini.

*Wan Farid & Mat Kerak...sedarlah...dah dah lah menipunya...