14.12.08

Saman Isu Royalti Belum Ditarik


Kerajaan Negeri mengesahkan pihaknya masih tidak menarik saman yang dikemukakan kepada Kerajaan Pusat berhubung isu royalti.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyatakan sehingga kini masih belum mengetahui hasil royalti yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri.

Jelasnya, Kementerian Kewangan sedang dalam proses mengesahkan jumlah dana khas yang sepatutnya diterima sebagai royalti.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam), pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama DUN Ke-12 di Wisma Darul Iman, hari ini (14 Disember).

Dato’ Ahmad berkata, sehingga hari ini, Kerajaan Negeri menerima secara terus ke akaun sebanyak RM 6.12 bilion termasuk dengan premium yang terakhir diterima semalam RM408.6 juta yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang menunggu senarai perbelanjaan yang digunakan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan wang royalti termasuk RM800 juta kepada negeri-negeri lain .

“Setakat yang disahkan oleh Kementerian Kewangan, RM 700 juta digunakan untuk Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membina rumah di negeri lain selain di Terengganu.

Jelas Dato’ Ahmad, keseluruhan itu menjadikan RM1.5 bilion akan dituntut kembali selepas memperoleh beberapa senarai lain yang dikehendaki masih tidak dapat disahkan oleh Kementerian Kewangan.


Ketika menjawab soalan tambahan dari Adun Wakaf Mempelam, Dato’ Ahmad berkata pihaknya mengakui sebahagian dari RM6.12 bilion turut digunakan membiayai projek pembangunan tertentu dan disalurkan menerusi Kerajaan Negeri.



“Setelah mendapat senarai lengkap, rundingan terakhir dengan Kerajaan Pusat untuk menuntut kembali baki yang ada itu dapat dilaksanakan,’ tambahnya.


Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

Pengundi Terengganu Matang Memilih Kerajaan Dan Pemimpin - Shafie


Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan pengundi Kuala Terengganu sebagai matang dan yakin mereka akan terus memilih calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu 17 Jan depan.

Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata kematangan dan kebijaksaan rakyat Terengganu itu terbukti apabila mereka memilih semula BN untuk membentuk kerajaan di negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

"Saya yakin pengundi di Kuala Terengganu amat matang. Kalau kita lihat dalam pilihan raya lalu mereka telah memberikan sokongan kepada kerajaan BN dengan mengembalikan tampuk pemerintahan negeri itu kepada BN," katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Rukun Tetangga sempena kempen "Jiranku Keluargaku" di sini malam tadi.

Beliau yakin pengundi Kuala Terengganu akan memberi kemenangan kepada BN demi kelangsungan pembangunan seterusnya bagi menjayakan usaha mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat negeri berkenaan.

Mengenai penghantaran jentera pilihanraya Umno dan BN dari Sabah untuk membantu rakan mereka berkempen di Kuala Terengganu, Shafie yang Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah berkata kebiasaannya Umno Sabah dan BN akan menghantar delegasi sebagai sokongan dan membantu rakan-rakan mereka di Kuala Terengganu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas penyandang kerusi kawasan berkenaan Datuk Razali Ismail meninggal dunia pada 28 Nov lalu.


Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com