9.12.08

Lupakan sementara perbalahan dalaman


KUALA LUMPUR: “Sebarang titik bengik yang wujud di kalangan ahli dan pemimpin Umno di negeri ini (Terengganu) perlu dilupakan jika mahu melihat Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi parlimen (Kuala Terengganu) ini,” kata veteran Umno Terengganu, Datuk A Bakar Ali, semalam.

A Bakar berkata, bukan sesuatu yang sukar bagi BN mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berdasarkan kepada kemenangan yang dinikmati dalam pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, walaupun pembangkang memenangi tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen berkenaan tetapi ia bukan ukuran kemenangan sudah pasti di tangan mereka.

“Sebagai bukti, rakyat sudah membuat pilihan memberikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kepada calon BN dengan menolak calon Pas.

“Malah, berdasarkan senario itu, tidak mustahil kawasan itu bakal terus berada di tangan BN jika perpaduan di kalangan semua warga Umno diperkukuhkan dengan menjadikan kemenangan sebagai sasaran yang perlu dicapai,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, di Kemaman.

Beliau diminta mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan 6 dan 17 Januari sebagai tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Pilihan raya itu diadakan selepas penyandang yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands, pada 28 November lalu.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Allahyarham Razali yang mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU 2004, sekali lagi menewaskan seorang lagi calon Pas yang juga Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

A Bakar berkata, beliau yakin hanya perpaduan di kalangan ahli Umno mampu menewaskan pembangkang dan yakin majoriti lebih besar mampu diperoleh jika usaha itu mampu dilakukan.

Beliau yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran tiga Menteri Besar, termasuk Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Idris Jusoh yakin BN mempunyai peluang cerah.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu Medan tebus maruah: Pemuda Umno

KLUANG: Pemuda Umno mahu menjadikan pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, sebagai medan menebus maruah selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh pada Ogos lepas.

Ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pemuda Umno kali ini akan memastikan jentera pergerakan itu lebih bersiap siaga untuk menghadapi pertandingan yang juga dilihat bakal sengit.

“Dugaan dan ujian terhadap Pemuda Umno adalah untuk memastikan sokongan golongan dan pengundi muda terhadap Barisan Nasional terus dipertahankan sebagaimana ketika Allahyarham Datuk Razali Ismail memenangi kerusi tersebut.

“Saya melihat pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini sebagai satu peluang kepada kita untuk menebus maruah berikutan kekalahan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh,” katanya yang juga Menteri Pelajaran kepada pemberita selepas merasmikan majlis korban anjuran Pemuda Umno di Felda Bukit Tongkat, di sini hari ini.

Pilihan raya Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian Razali, penyandang kerusi kawasan tersebut pada 28 November lalu.


Pada pilihan raya umum Mac lepas, Razali menang dengan majoriti 628 undi di kawasan tersebut menewaskan jaguh PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon Bebas, Maimun Yusuf, 89.

Hishammuddin menyifatkan pilihan raya kecil Kuala Terengganu adalah berbeza dan tidak boleh disamakan dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang dimenangi oleh penasihat umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Permatang Pauh adalah jauh berbeza, kerana Permatang Pauh merupakan kubu kuat pembangkang manakala calonnya pula merupakan pemimpin tertinggi parti pembangkang itu dan kerusi itu pula dikosongkan oleh isterinya (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” katanya.

Menurut Hishammuddin, BN mempunyai kelebihan kali ini kerana suasana yang menyelubungi pilihan raya kecil Kuala Terengganu ketika ini, adalah berlainan dan tidak sama sebagaimana ketika pilihan raya umum Mac lepas.

“Kita lihat gelombang dan keadaan ketika ini sudah berubah berbanding ketika pilihan raya umum lepas yang banyak bergantung kepada pertimbangan persepsi dan strategi-strategi tertentu yang berkemungkinan tidak lagi berasas pada masa ini, dan saya yakin ini merupakan satu kelebihan kepada kita,” tambahnya.

Beliau berharap pilihan raya kecil Kuala Terengganu kelak, tidak dicemari dengan suasana dan insiden negatif sebagaimana yang berlaku di Permatang Pauh.

“Kita minta parti-parti pembangkang bertanding secara `gentleman’,” kata Hishammuddin.

Yang turut hadir pada majlis korban kali kelima berturut-turut itu ialah timbalan beliau, Khairy Jamaluddin dan anggota exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir. - Bernama

Kuala Terengganu lebih Panas- Zulkifli Nasir

Umno meramalkan pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari depan akan menyaksikan pertarungan sengit antara BN dengan PAS, "lebih panas daripada pilihanraya Permatang Pauh."

Sebahagian puncanya, kata anggota biro penerangan Umno negeri Zulkifli Nasir, akibat sabotaj di kalangan penyokong Umno jika calonnya bukan ketua bahagian berkenaan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Tambahnya, pemilihan timbalan menteri itu "akan menyelesaikan banyak masalah tetapi tidak dapat menyelesaikan semua sekali."

"Peluang Datuk Wan Ahmad Farid menang lebih baik berbanding calon BN lain.

"Tetapi orang tidak suka kepada abangnya Datuk Wan Hisham.

"Orang kata, jangan libatkan Datuk Wan Hisham (dalam pilihanraya ini) kerana orang Umno tidak suka," kata Zulkifli, bekas ahli jawatankuasa bahagian Kuala Terengganu.

"Orang kata, kalau libatkan Datuk Wan Hisham mereka akan tolak semua.

Jadi Datuk Wan Ahmad Farid kena buang kepentingan keluarga dan kawan-kawan, sebaliknya mengutamakan kepentingan parti."

Wan Hisham, bekas seorang exco dalam pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh, gagal mempertahankan kerusi Ladang, Mac lalu.

Naib ketua bahagian Umno itu tewas kepada calon PAS Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, bekas pegawai kewangan negeri, dengan majoriti tipis, 31 undi.

Zulkifli menambah, BN juga menghadap cabaran berat kerana terdapat penyokong Umno yang kecewa dengan kerajaan persekutuan yang dianggap sukar memberikan peruntukan kepada kerajaan Terengganu, termasuk gagal memulangkan wang royalti minyak.

"Orang marah kerana kerajaan negeri hari ini tidak boleh melaksanakan projek pembangunan kerana kerajaan pusat tidak beri wang tidak seperti zaman Datuk Seri Idris menjadi menteri besar," kata bekas setiausaha politik tokoh Umno negeri Tan Sri Yusuf Nor, kini pengerusi Felda.

"Jadi rakyat akan ajar BN dengan cara tidak mengundi calon parti itu."

Pilihanraya kecil Permatang Pauh, yang dimenangi penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ogos lalu digelar "ibu segala pilihanraya kecil" menyaksikan pertarungan sengit dan panas kedua-dua pihak.

Kuala Terengganu adalah pilihanraya kecil kedua selepas Permatang Pauh.

Sementara seorang ahli jawatankuasa Umno Kuala Terengganu, Sulaiman Ali bimbang akan berlaku pergaduhan dalam kempen mulai 6 Januari ini kerana kawasan itu dipenuhi oleh orang luar yang ghairah berkempen.

"Saya bimbang orang PAS membuat kacau tetapi orang Umno yang dapat nama (buruk)," katanya.

"Kita bimbang orang kita (penduduk tempatan) ganggu orang luar sehingga timbul pergaduhan."

Walaupun yakin peluang calon Umno menang lebih cerah berbanding PAS, beliau percaya faktor calon memainkan peranan utama.

"Tetapi ia bergantung kepada calon juga. Kalau letak Datuk Wan Ahmad Farid, peluang adalah 55 peratus, kalau calon lain hanya 45 peratus," katanya.

Untuk memastik BN mengatasi cabaran hebat PAS, parti itu perlu memperjuangkan isu orang Melayu untuk menarik sokongan majoriti hampir 90 peratus pengundi kawasan itu.

Umno bahagian Kuala Terengganu dijadual mengadakan mesyuarat khas, dipercayai membincangkan persiapan pilihanraya kecil tersebut, di bangunan pejabatnya di Gong Kapas, jam 9 malam ini.

Nota : Ustaz Zul kena faham, semua orang Kuala Terengganu tahu yang YB Dato' Wan Farid ni adalah adik kepada Datuk Wan Hishan, nak selindung macamana tu?

PM: Kami mahu menang lawan PAS



Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa parti itu bekerja keras jika ingin memenangi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu pada bulan depan.

"Kita mahu menang. Kita mahu menang. Kita mesti ada keyakinan, sebab itu kita kata boleh menang. Kita ada sokongan kuat dan kita perlu bekerja keras," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu lebih tiga jam hari ini

Majlis Tertinggi BN bagaimanapun belum membincangkan calon yang bakal menghadapi saingan sengit PAS.

Tambah Abdullah, yang juga presiden Umno, berkata parti itu akan mengumumkan calonnya dalam masa yang terdekat.

BN akan berdepan dengan calon PAS yang ghairah merampas kerusi tersebut selepas tewas tipis dengan 628 undi dalam pilihanraya umum lalu.

Ditanya oleh wartawan sekiranya ada pengundi akan beralih arah untuk menyokong pembangkang, beliau berkata:

"Tidak buat masa sekarang. Awak tahulah politik, awak tidak dapat meramal bagaimana pengundi ingin beralih arah. Mereka mempunyai kecenderungan beralih arah sekalipun pada minit-minit terakhir, sama ada ke arah kita (BN) atau lawan."

Mengulas ugutan PPP untuk keluar BN jika kerajaan gagal meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), perdana menteri berkata kerajaan tidak bercadang untuk berbuat demikian.

"Tidak ada rancangan untuk meminda kata tersebut. Jika itu pilihan mereka (PPP), apa yang kita boleh buat," tegas Abdullah.

Akhir bulan lalu, presiden parti komponen itu Datuk M Kayveas mendesak kerajaan mengkaji semula akta kontroversi tersebut sebelum pilihanraya umum yang ke-13 diadakan ataupun parti itu akan meninggalkan BN.

Kayveas bagaimanapun tidak hadir dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi BN. Difahamkan beliau berada di luar negara.

Dalam sidang media yang sama juga, Abdullah berkata BN memutuskan untuk mengadakan konvensyen Februari depan bagi menyusun langkah baru susulan prestasi buruk parti dalam pilihanraya umum lalu.

Katanya, BN sedang meninjau pandangan pemimpin-pemimpin masyarakat untuk mendapatkan maklum balas mereka berhubung kemerosotan tersebut.





Nota : Kami orang Kuala Terengganu tetap mendoakan agar Pak Lah kekal sebagai PM selepas Mac 2009 ini- Inilah harapannya.

Kawalan lebih ketat - Syed Hamid


KUALA TERENGGANU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, berdasarkan kepada beberapa kejadian tidak diingini di Terengganu pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, polis akan mengadakan kawalan lebih ketat pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.


Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan seramai 80,229 pemilih berdaftar di kawasan itu dapat menunaikan tanggungjawab mereka.

"...kerana ada pengalaman lalu, mereka (polis) akan lebih berjagajaga dan kita minta orang ramai supaya jangan mudah untuk memberi kad pengenalan kepada orang lain.


"Saya juga meminta manamana parti supaya tidak menggunakan tindakan agresif untuk mengagalkan dan menyekat orang ramai daripada mengundi mahupun semasa mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya kecil itu nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat mengenai perkembangan terkini banjir dan persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.


Syed Hamid berkata, orang ramai seharusnya sedar bahawa kad pengenalan adalah hak mereka dan tidak ada pihak yang boleh meminta dan merampas kad itu daripada mereka.


Katanya, jumlah anggota polis yang akan ditugaskan dalam pilihan raya kecil itu nanti adalah lebih ramai berbanding bilangan anggota yang ditugaskan semasa pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lepas memandangkan kawasan Parlimen Kuala Terengganu lebih luas.


Beliau juga mengingatkan semua parti politik supaya menghormati undangundang dan peraturan yang ditetapkan sepanjang proses pilihan raya itu nanti.


"Pilihan raya kecil ini adalah proses demokrasi...ia hidup dengan subur selagi kita mengikut prosedur undang-undang, kita perlu hormat undang-undang dan peraturan.

"Kerajaan kita pun adalah sebuah kerajaan yang mengetahui tangungjawabnya dan sebab itu kita tengok negara kita apapun yang berlaku, kerajaan dapat mempertahankan keamanan dan kenteraman awam melalui agensi yang berkenaan," katanya.

Syed Hamid yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno menjangkakan pilihan raya kecil itu akan menyaksikan persaingan sengit antara calon yang bertanding.


"Panas sebab pembangkang nak rampas kerusi dari kita... sebab ini adalah kerusi BN dan kita akan pertahankannya.

"Pada saya, pilihan raya kecil macam ini tidak boleh diambil mudah, kita perlu kerja keras untuk pastikan kemenangan kita (BN)," katanya.


Malah, katanya BN juga tidak menganggap kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebagai kerusi mudah kerana pihak pembangkang akan menggunakan pelbagai taktik untuk memenangi pilihan raya kecil itu.


Nota : Harap YB pun tak ambil kesempatan untuk kempen pemilihan umno ye...hi hi hi..kita nak lawan PAS bukan nak lawan sama sendiri di Kuala Terengganu ni.

Jentera UMNO Bahagian Setiu bersiap sedia

KUALA TERENGGANU-UMNO Bahagian Setiu akan ‘menurunkan’ jenteranya ke Parlimen Kuala Terengganu sebaik sahaja mendapat maklumat dan arahan terkini daripada Badan Perhubungan UMNO negeri.

Timbalan ketuanya, Asha’ari Idris berkata, setakat ini, UMNO Bahagian Setiu telah pun bersedia dan semua jentera terutama sayap parti dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Jabi, Permaisuri dan Batu Rakit akan turun membantu


Menurutnya, beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Razali Ismail yang meninggal dunia pada Jumaat lalu.


“Tidak ada sebab untuk BN kalah kerana sebelum ini pun kita sudah menang di kerusi itu apatah lagi kerajaan BN membela nasib dan menjaga kebajikan rakyat dengan baik serta sempurna,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.


Asha’ari berkata, pemilihan 17 Januari depan sebagai tarikh pilihan raya kecil juga sesuai kerana ia memberi banyak masa dan peluang kepada parti politik yang bertanding membuat persediaan sewajarnya.

“Saya setuju dengan tarikh ini walaupun tempohnya kelihatan agak panjang,” katanya.
Nota: Harap agar perbalahan didalam bahagian setiu semasa pemilihan bahagian baru-baru ini dapat diselesaikan terlebih dahulu sebelum datang ke Parlimen Kuala Terengganu.Kami tidak mahu masalah Umno Setiu di bawa Ke pilihanraya Kecil Kuala Terengganu.YB boleh faham kan!