17.12.08

Ujian Buat Ahmad Said Sebagai Menteri Besar




Khidmat cemerlang Allahyarham Datuk Razali Ismail sebagai Anggota Parlimen Kuala Terengganu dan langkah kerajaan pusat menyerahkan pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu mungkin meringankan beban Menteri Besar Datuk Ahmad Said untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu bulan depan.

Memang diakui bukan mudah bagi BN mempertahankan kerusi itu tetapi dua kelebihan itu dilihat oleh pemerhati politik di sini boleh membantu Ahmad dan jentera BN dalam misi itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 Nov lepas. Penamaan calon ialah pada 6 Jan dan pengundian ditetapkan pada 17 Jan.

"Kita akui mungkin berhadapan pertandingan sengit tapi kita akan tetap pertahankannya," kata Ahmad, 51, yang dilantik sebagai menteri besar pada 31 Mac lepas.

Persetujuan kerajaan pusat untuk menyerahkan pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri tentunya melegakan beliau.

Ahmad, yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri pada 14 Jun lepas bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, pastinya mahu membuktikan kepada rakyat Terengganu dan pucuk pimpinan Umno bahawa kepimpinan beliau diterima rakyat negeri itu.

Melihat perkembangan negeri di bawah pentadbiran Ahmad, ia memberi kelebihan kepada Umno dan BN terutama kejayaan beliau mendapatkan kembali royalti minyak yang dianggap satu kemenangan kepada rakyat Terengganu sendiri.

Selepas beberapa kali rundingan dengan kerajaan pusat, akhirnya pada 13 Dis lepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa selepas tarikh tersebut, kerajaan pusat akan "menyerahkan bulat-bulat" pengurusan wang royaliti minyak kepada kerajaan Terengganu.

Di sebaliknya dakwaan bahawa kerajaan Terengganu sebelum ini membelanjakan wang yang banyak untuk beberapa projek besar, Ahmad mengumumkan bahawa projek mega tidak lagi akan dilaksanakan selepas ini.

Sebaliknya kerajaan negeri akan melaksanakan lebih banyak program untuk manfaat rakyat, antaranya program e-Book bagi membekalkan komputer riba menggantikan buku sekolah kepada pelajar bermula tahun depan.

Kejayaan Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) buat pertama kali pada Mei lepas, juga memberi gambaran bahawa rakyat Terengganu juga mampu cemerlang dalam apa saja bidang termasuk sukan.

Pembinaan pelbagai infrastruktur sukan oleh kerajaan Terengganu untuk temasya tersebut seperti Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak serta Pusat Akuatik di Batu Burok, juga meningkatkan imej pembangunan sukan negeri Terengganu.

Lebih manis lagi, Terengganu buat pertama kalinya, muncul juara keseluruhan temasya tersebut sejak ia diperkenalkan pada 1986.

Perkhidmatan cemerlang Allahyarham Razali sendiri ketika mewakili kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak boleh dinafikan.

Beliau terkenal dalam kalangan pengundi Kuala Terengganu sebagai pemimpin yang rapat dengan rakyat dan amat disenangi oleh mereka.

Beliau merupakan pemimpin yang tidak memilih kasih dan sanggup membantu rakyat tidak kira apa jua fahaman politik mereka terutama dalam bidang pendidikan.

Sebagai anggota parlimen, Razali turut mempunyai misi besar untuk menjadikan Kuala Terengganu setaraf dengan pusat pentadbiran negeri lain melalui projek pembangunan Bukit Besar yang melibatkan pembinaan 25 pejabat kerajaan bagi mewujudkan satu kawasan pentadbiran berpusat.

Seorang penganalisis politik tempatan berkata pengundi di Kuala Terengganu perlu faham bahawa pilihan raya kecil ini bukan hanya proses mencari Anggota Parlimen baru sebaliknya bagi memilih wakil rakyat yang boleh meneruskan khidmat cemerlang kepada mereka yang dipelopori oleh Allahyarham Razali.

Pentadbiran Ahmad juga mendapat sokongan daripada pihak istana apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang juga Sultan Terengganu, mengilhamkan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu yang akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.

Pada pilihan raya umum lepas, Razali selaku penyandang, menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon Bebas dengan majoriti 628 undi. Razali memperoleh 32,562 undi manakala Mohamad Sabu mendapat 31,934 undi, dan calon Bebas, Maimun Yusof mendapat 685 undi.



Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

Persatuan Permotoran Terengganu tetap bersama BN



Persatuan Permotoran Terengganu (PPT) menafikan bersedia memberikan sokongan kepada calon Bebas dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Jan depan.

Presidennya, Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Burhanuddin Sultan Mahmud berkata kenyataan itu mengelirukan kerana persatuan itu tidak pernah memberikan sokongan kepada mana-mana calon Bebas untuk bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.

"PPT hanya memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Dua hari lepas, Isma Airfath Hassanuddin, 38, yang menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, berkata beliau mendapat sokongan daripada Kelab Permotoran Terengganu untuk tujuan tersebut.

Mengulas lanjut, Tengku Burhanuddin berkata sebagai sebuah badan bukan kerajaan, PPT akan membantu kerajaan daripada pelbagai segi dan tidak akan memberikan sokongan kepada mana-mana calon Bebas.

"Kita memberi sokongan kepada mana-mana calon BN nanti," katanya.

Tengku Burhanuddin berkata PPT mempunyai 12 kelab gabungan dengan jumlah keseluruhan keanggotaan seramai 1,178 orang.

Kelab tersebut ialah Kelab Skuter Klasik, Kelab Gen 2 Cawangan Terengganu, Kelab Motosikal Chopper Negeri Terengganu, Kelab Pemilik Proton Perdana Dungun, Terengganu Riders Club, Kelab Skuter Terengganu, Kelab Motor Terengganu, Kelab AEDES K.TEY Scooter, Persatuan Motosikal Klasik Terengganu, Kelab Kereta Mini Terengganu, Kelab Myvi Terengganu dan Kelab Kancil Terengganu.

Beliau seterusnya mengingatkan mana-mana calon Bebas supaya tidak melibatkan PPT dalam kempen politik mereka semasa pilihan raya kecil tersebut.




Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com