17.12.08

Persatuan Permotoran Terengganu tetap bersama BN



Persatuan Permotoran Terengganu (PPT) menafikan bersedia memberikan sokongan kepada calon Bebas dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Jan depan.

Presidennya, Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Burhanuddin Sultan Mahmud berkata kenyataan itu mengelirukan kerana persatuan itu tidak pernah memberikan sokongan kepada mana-mana calon Bebas untuk bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.

"PPT hanya memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Dua hari lepas, Isma Airfath Hassanuddin, 38, yang menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, berkata beliau mendapat sokongan daripada Kelab Permotoran Terengganu untuk tujuan tersebut.

Mengulas lanjut, Tengku Burhanuddin berkata sebagai sebuah badan bukan kerajaan, PPT akan membantu kerajaan daripada pelbagai segi dan tidak akan memberikan sokongan kepada mana-mana calon Bebas.

"Kita memberi sokongan kepada mana-mana calon BN nanti," katanya.

Tengku Burhanuddin berkata PPT mempunyai 12 kelab gabungan dengan jumlah keseluruhan keanggotaan seramai 1,178 orang.

Kelab tersebut ialah Kelab Skuter Klasik, Kelab Gen 2 Cawangan Terengganu, Kelab Motosikal Chopper Negeri Terengganu, Kelab Pemilik Proton Perdana Dungun, Terengganu Riders Club, Kelab Skuter Terengganu, Kelab Motor Terengganu, Kelab AEDES K.TEY Scooter, Persatuan Motosikal Klasik Terengganu, Kelab Kereta Mini Terengganu, Kelab Myvi Terengganu dan Kelab Kancil Terengganu.

Beliau seterusnya mengingatkan mana-mana calon Bebas supaya tidak melibatkan PPT dalam kempen politik mereka semasa pilihan raya kecil tersebut.




Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

No comments: