7.12.08

5 nama disebut bakal calon BN Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU 5 Dis. - Lima nama disebut-sebut sebagai bakal calon yang akan membawa cabaran Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang ditetapkan pada 17 Januari tahun depan.
Mendahului senarai berkenaan ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Nama lain yang turut disebut-sebut ialah Bendahari UMNO negeri, Datuk Roslan Awang Chik; bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh dan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Sabri Alwi.

Roslan dilantik sebagai Bendahari di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang mengambil alih jawatan Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri daripada Datuk Seri Idris Jusoh manakala Che Mat dan Sabri merupakan pemimpin setempat yang dikatakan berpeluang untuk dipilih.
Satu lagi nama yang muncul sebagai bakal calon bagaimanapun bukan dari kalangan orang politik ialah Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pelajaran Negeri, Zuber Embong.
Zuber dikatakan calon yang berupaya menyaingi kewibawaan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail sebagai tokoh pendidikan yang disenangi oleh masyarakat serta pengundi setempat.

Bagaimanapun, daripada kesemua nama berkenaan, Wan Ahmad Farid dikatakan calon pilihan berikutan pengalamannya menjadi ketua bahagian selama dua penggal.
Beliau mengekalkan jawatan tersebut pada pemilihan bahagian itu baru-baru ini tanpa bertanding.

Seorang pemimpin politik daripada parti komponen BN ketika ditemui hari ini berkata, daripada kesemua nama berkenaan, Wan Ahmad Farid mempunyai kelebihan berdasarkan personaliti dan kedudukannya.

Menurutnya, sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, beliau banyak membantu menyelesaikan masalah penduduk dan mereka semestinya terhutang budi kepada beliau.

Selain itu, jelasnya, sebagai seorang yang mempunyai latar belakang dalam bidang guaman, beliau turut membantu masyarakat yang memerlukan khidmat nasihat undang-undang.
''Dari segi personaliti, beliau juga seorang yang menyenangkan. Imej yang dibawa oleh beliau adalah seorang pemimpin yang sederhana dan boleh diterima oleh semua peringkat.

''Pada pilihan raya umum Mac lalu pun, beliau banyak tolong berkempen walaupun bukan calon, jadi sekarang adalah masa untuk membalas budi beliau," ujarnya.
Bagaimanapun, UMNO Bahagian Kuala Terengganu hanya akan bermesyuarat pada 9 Disember ini yang antara perkara dipercayai bakal dibincangkan ialah nama calon untuk dicadangkan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Badan Perhubungan UMNO Negeri pula akan bermesyuarat pada 11 Disember ini dan dijangka akan membuat pemilihan nama untuk diserahkan kepada UMNO pusat.

No comments: