7.12.08

Proses mencari calon P36 - Kuala Terengganu

Oleh ; MOHD. ADHA BIN MOHD. ZAIN

Semua mata kini tertumpu ke kawasan P36 iaitu Parlimen Kuala Terengganu yang bakal menghadapi pilihan raya kecil berikutan kematian mengejut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.Baik Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang sudah mula berkira-kira mengenai strategi masing-masing walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya bermesyuarat hari ini untuk membincangkan proses persediaan pilihan raya kecil itu nanti.

Kedua-dua parti menyatakan keyakinan untuk memenangi kerusi itu malah Pas Terengganu sendiri sudah meletak harapan tinggi terhadap bakal calon parti itu untuk merampas kerusi Parlimen tersebut daripada UMNO.Ini berdasarkan perkiraan mereka bahawa tiga daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dikuasai oleh Pas pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lepas manakala satu sahaja DUN dikuasai BN.Pada pilihan raya umum itu, Pas berjaya mengekalkan penguasaan di dua kubu kuatnya iaitu DUN Wakaf Mempelam melalui Mohd. Abdul Wahid Endut yang menewaskan Othman Awang dengan majoriti meningkat 2,193 undi dan DUN Batu Buruk melalui Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang menewaskan Senator Nordiana Shafie juga dengan majoriti meningkat 1,161 undi.

Parti pembangkang itu juga berjaya merampas DUN Ladang daripada UMNO apabila Datuk Tengku Hassan Tengku Omar menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dengan kemenangan tipis 31 undi.BN pula hanya berjaya mengekalkan kerusi DUN Bandar melalui calon MCA, Toh Chin Yaw yang menewaskan Dr. Abdul Manaf Che Mat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 1,142 undi.Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk Pas menyandarkan harapan terhadap prestasi lepas mereka di Parlimen Kuala Terengganu kerana selepas pilihan raya umum berlalu, banyak faktor dan isu semasa baik di peringkat tempatan mahupun nasional yang dilihat menyebelahi BN.

Di peringkat tempatan, rekod perkhidmatan Allahyarham Razali sendiri yang memegang kerusi Parlimen Kuala Terengganu sejak penggal lepas tidak boleh diketepikan begitu saja.Razali terkenal di kalangan pengundi Kuala Terengganu sebagai pemimpin yang rapat dengan rakyat melalui 'sentuhan peribadi' yang disenangi mereka. Beliau merupakan pemimpin yang tidak pernah memilih 'bulu' dan sanggup membantu rakyat tidak kira fahaman politik mereka.Sebagai Ahli Parlimen kawasan itu, Razali mempunyai misi besar untuk menjadikan Kuala Terengganu setaraf dengan pusat pentadbiran negeri lain melalui projek pembangunan Bukit Besar.

Pelan pembangunan bandar baru di Bukit Besar akan melibatkan pembinaan sebanyak 25 pejabat kerajaan bagi mewujudkan satu kawasan pentadbiran berpusat. Sebelum kematiannya, beliau turut meninggalkan Pelan Pendidikan Negeri Terengganu untuk dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan tahap pendidikan anak-anak negeri ini.Menyentuh hal ini, seorang pemimpin UMNO Terengganu berpendapat pengundi di Kuala Terengganu perlu faham bahawa pilihan raya kecil ini bukan proses penubuhan kerajaan, namun ia adalah proses mencari wakil rakyat baru untuk meneruskan kesinambungan khidmat kepada rakyat.Justeru menurutnya, pembangunan yang dirintis oleh Razali perlu diteruskan dengan rakyat memilih calon BN bagi meneruskan kesinambungannya.

Perkembangan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dilihat memberi kelebihan kepada UMNO terutama kejayaan beliau mendapatkan kembali wang royalti minyak yang seolah- olah menggambarkan kemenangan rakyat Terengganu sendiri.Pendekatan Menteri Besar dengan pengumuman bahawa tiada projek mega akan dilaksanakan selepas ini kecuali yang mendatangkan faedah langsung kepada rakyat membuka mata mereka terhadap keikhlasan kerajaan BN dalam membangunkan negeri ini.

Umpamanya program i-Book iaitu kerajaan negeri akan membekalkan komputer riba bagi menggantikan buku sekolah kepada pelajar bermula tahun depan memperlihatkan bahawa kerajaan BN tidak pernah bersikap 'cakap tidak serupa bikin'.Di peringkat nasional pula, penurunan harga minyak sebanyak enam kali dari RM2.70 kepada RM1.90 serta peralihan kuasa di peringkat pucuk pimpinan memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap parti pemerintah.Pembangkang pula ketika ini ketandusan isu tempatan untuk diketengahkan bagi menarik sokongan rakyat kepada mereka.

Pas dijangka memainkan beberapa isu lama seperti keadaan hidup rakyat yang didakwa susah dengan pendapatan yang tidak seberapa serta beberapa projek mega sebelum ini yang dikatakan tidak mendatangkan faedah langsung kepada penduduk tempatan.Pembangkang kini hanya bergantung kepada 'mood' kemenangan mereka di Permatang Pauh untuk menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.Namun, seperti dalam mana-mana pilihan raya sekalipun, fokus utama pengundi sekarang ialah siapa calon yang akan membawa cabaran parti yang bakal bertanding.

MenyaksikanPerkara menarik untuk disorot pada pilihan raya kecil ini adakah pihak lain selain Pas dan BN-UMNO sanggup mencalonkan diri untuk bertanding.Sejarah Pilihan Raya Umum ke-12 yang lepas menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Razali, calon Pas iaitu Mohamad Sabu dan calon bebas, Maimun Yusuf.Maimun sudah menyatakan minat untuk bertanding pada pilihan raya kecil ini jika ada pihak sudi menaja wang pertaruhan RM10,000, begitu juga Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula berharap diberi peluang untuk meletakkan calonnya.

Sekiranya PKR berkeras untuk berbuat demikian, sekurang-kurangnya pertandingan lima penjuru bakal mewarnai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di samping calon Pas dan UMNO-BN. Soal kewibawaan calon amat penting kerana ia bakal menentukan penerimaan mutlak pengundi terutama di pihak UMNO-BN dan Pas yang dijangka memberikan saingan sengit sesama mereka.Pas Terengganu amat berharap calon tempatan akan diketengahkan kali ini memandangkan mereka sudah 'berkorban' dengan membenarkan calon payung terjun iaitu Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu.Justeru, apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdulk Aziz Nik Mat menyatakan hasrat supaya Mohamad dipilih sekali lagi sebagai calon, riak kurang senang timbul di kalangan pengikut dan pemimpin Pas terutama di Kuala Terengganu sendiri.''Kami mahu orang tempatan. Cukuplah sekali Mohamad diberi peluang. Dulu kami beri laluan kepada beliau untuk bertanding, jadi sekarang ini giliran orang sini pula bertanding," ujar seorang ahli Pas.

Antara pemimpin tempatan Pas yang disebut-sebut sebagai bakal calon ialah Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Wan Abdul Mutalib Embong dan ADUN Batu Burok sekarang, Dr. Syed Azman Syed Nawawi.

Pemilihan calon dijangka memberi kesan yang lebih besar lagi kepada UMNO- BN terutama selepas pemilihan bahagian yang menyebabkan keretakan dan penyingkiran tokoh-tokoh yang kalah.Pemilihan calon yang betul boleh mengelakkan pengikut-pengikut pemimpin yang kalah memboikot calon yang bertanding jika tidak kena dengan selera mereka.Ini semestinya merupakan perkara yang tidak diperlukan oleh UMNO dalam memastikan parti itu terus mengekalkan penguasaan mereka di kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas menang tipis pada pilihan raya umum lepas.

Dalam hal ini pemerhati politik berpendapat, ahli-ahli UMNO tempatan perlu mengurangkan perebutan dan lobi-melobi untuk menjadi calon supaya tidak memberi ruang kepada pembangkang menjadikannya sebagai isu kelak.

Begitu pun, beberapa nama kini disebut-sebut berpotensi sebagai bakal calon iaitu Bendahari Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Roslan Awang Cik, Datuk Zuber Embong, Datuk Che Mat Jusoh dan sudah tentu Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu sendiri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.Wan Ahmad Farid dilihat paling berpotensi memandangkan kedudukannya sebagai Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu membolehkan beliau mendapat sokongan maksimum daripada ahli parti.Tambahan pula pelantikannya sebagai Senator bagi membolehkannya memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri akan berakhir tidak lama lagi.

http://myadha.blogspot.com/

No comments: