13.12.08

Calon di Putuskan Minggu Depan - TPM

KEKALKAN KEMENANGAN BN DI KUALA TERENGGANU

Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diumum minggu depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan tanggungjawab untuk mengumumkan calon pada pilihan raya kecil itu kepada beliau.

"Presiden (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) sudah serahkan pada saya untuk umum (calon). Insya-Allah, bila saya datang minggu depan (saya akan umumkan).

"Minggu ini, tak nak umum calon sebab agenda kita adalah (melancarkan) jentera pilihan raya," katanya ketika merasmikan majlis penutup Pemukiman Umno Terengganu dan pelancaran jentera pilihan raya Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini, Sabtu.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian Datuk Razali Ismail Razali, penyandang kerusi itu, pada 28 Nov lalu. Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bayaran royalti minyak separuh kedua 2008 di Stadium Negeri di sini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata beliau sudah menerima senarai nama calon BN yang dicadangkan untuk pilihan raya kecil tersebut.

Nantilah, tidak lama lagi. InsyaAllah saya akan umumkan...tunggulah. Tak kan saya nak umum dalam majlis (ini)," katanya sambil meminta semua pihak bersabar.

Antara nama yang disebut-sebut ramai pemerhati politik sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu ialah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Lainnya ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Mohd Sabri Alwi, Bendahari Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Roslan Awang Chik, bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Che Mat Jusoh dan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pelajaran negeri, Zuber Embong.

No comments: