13.12.08

Nak menang, tapi macam tak nak menang - Najib

Setiap kali musim pilihan raya baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil, parti-parti yang bertanding akan menyuarakan keyakinan mereka akan meraih kemenangan. Para pemimpin dan pengikut parti akan melaungkan pelbagai slogan bagi membayangkan hasrat mereka untuk menang.

Namun bagi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, laungan atau luahan kata-kata semangat seumpama itu tidak memadai kerana ia perlu disusuli dengan tekad dan tindakan.

"Siapa nak kalah? semua mahu menang tetapi kadang-kadang kita luahkan saja UMNO akan menang atau saya nak menang tetapi amalan, perbuatan, tingkah laku kita tak cerminkan orang yang nak menang pilihan raya," katanya.

Sehubungan itu, di samping mahukan agar keinginan untuk menang ada di dalam hati setiap ahli UMNO, beliau turut menegaskan keinginan itu perlu dibuktikan melalui kerjasama dan kesepakatan sesama ahli-ahli parti.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan jentera pilihan raya UMNO dan menutup Pemukiman UMNO Terengganu di Taman Tamadun Islam hari Sabtu.

Najib yang menekankan perlunya semua pihak berusaha bersungguh-sungguh menjamin kemenangan parti pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 17 Januari depan, mahu setiap ahli meletakkan kepentingan parti serta menghormati keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

Katanya, calon yang diputuskan oleh parti mestilah mendapat sokongan daripada semua pihak dan setelah keputusan dibuat, semua harus bekerja untuk menjamin kemenangan parti.

Serentak dengan itu, beliau mengingatkan bahawa pengundi adalah faktor paling penting yang perlu diberi keutamaan oleh semua ahli-ahli UMNO termasuk calon yang bakal bertandingan pada pilihan raya kecil itu nanti untuk menjamin kemenangan parti itu.

"Kita mesti faham dalam masa pilihan raya yang lebih penting bukanlah jentera UMNO, bukan ketua cawangan dan bukan ahli jawatankuasa cawangan tetapi pengundi yang paling penting kerana mereka adalah "raja" semasa pilihan raya.

"Sesiapa saja jadi calon tak penting tapi yang utama dia mestilah seorang yang merendah diri, tidak sombong, mesra rakyat, bersalam dengan semua orang, buatlah cara yang disenangi pengundi kerana mereka juga akan sayang kita sebab perwatakan kita itu," katanya.

Dalam ucapannya juga Najib menegaskan bahawa kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil berkenaan penting bagi menunjukkan kebangkitan parti itu selepas kalah pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Ogos lalu.

“Kita mesti menang sebab kita nak jadikan kemenangan ini sebagai satu titik permulaan BN dan UMNO untuk bangkit dari kekalahan di Permatang Pauh.

“Kita nak bagi isyarat yang jelas kepada negara dan satu dunia yang rakyat negara ini memilih BN sebagai parti mereka,” kata beliau.


Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

No comments: