21.12.08

Surat Pengunjung

Oleh Afzil Azami

Saudara Pengarang,

Di Terengganu kite ramai tokoh yang dikenali ramai dan berkebolehan.

Calon yang sesuai ialah Dato’ Alwi B. Muhamad

Beliau mempunyai hubungan yang ramai dan dikenali baik orang UMNO atas pagar dan juga PAS.

Dulu apabila nama beliau short list untuk jadi calon DUN WMempelam, ramai ahli PAS termasuk ketua-ketua cawangan tampil member sokongan.

Golongan atas pagar pula yang meliputi 40% pemilih ingin melihat wakil UMNO lebih Islamik untuk diserap dalam kerajaan.

Datuk Alwi, selain CEO Maidam selama lebih 8 tahun mempunyai background yang luas dalam pentadbiran kerajaan selain bidang agama mendalam.

Menjalankan aktiviti keagamaan ceramah agama, mengajar tafsir al-quran, saudara baru, boleh membaca khutbah, berbahasa arab dan lain-lain.

Kekuatan lain yang beliau ada ialah imej beliau yang tidak ada skandal dan juga rasuah sepanjang 35 tahun dalam kerajaan, berdisiplin, amanah jujur dan taat kepada kerajaan BN.

Boleh dikatakan seluruh keluarga beliau dan juga saudara mara adalah fanatic UMNO dan belau sendiri setia dengan UMNO walaupun PAS tawarkan bermacam-macam ganjaran.

So kenapa tidak calon yang mempunyaikekuatan sebegini tidak dipilih? Adakah UMNO sanggup hilang lagi kerusi Parlimen.

This time UMNO need to change.

Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

18.12.08

Saya Ketuai Kempen Wanita Umno, Kata Rafidah

Tan Sri Rafidah Aziz hari ini menjelaskan bahawa sebagai Ketua Wanita Umno, beliau yang mengetuai kempen pergerakan itu bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Jan depan.

Katanya perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pada mana-mana pilihan raya kecil lepas, beliau yang mengetuai jentera pergerakan tersebut supaya ia berjalan lancar.

Kecuali pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos lepas, Rafidah berkata beliau terpaksa mewakilkan tanggungjawab tersebut kepada pemimpin lain, kerana baru selesai menjalani pembedahan lutut.

"Sebagai ketua (Wanita Umno) saya mengetuai (kempen Wanita Umno) di semua pilihan raya kecil kecuali di Permatang Pauh, saya wakilkan kepada Setiausaha Eksekutif Wanita Umno...ia memang sentiasa macam itu.

"Kali ini, saya okay...saya gembira dan lega dapat datang sebab semangat (yang ditunjukkan Wanita Umno) di sini," katanya kepada pemberita selepas program mesra rakyat Parlimen Kuala Terengganu bersama beliau di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar semalam, Naib Ketua Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilaporkan hanya mengangkat bahu apabila ditanya mengapa Rafidah mengetuai kempen Wanita Umno pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu, dan mendakwa beliau tiada petunjuk mengenai perkara itu.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata beliau begitu bersemangat untuk datang ke sini bagi membantu jentera Wanita Umno bagi memastikan BN mengekalkan kerusi tersebut.

Tambahan pula, katanya disebabkan beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan sekarang, beliau mempunyai banyak masa untuk membantu kempen pergerakan itu.

"Sudah empat kali saya datang ke sini kerana saya menganggap, kerja-kerja macam ini (berkempen), tidak boleh diabaikan...nak wakilkan kepada orang lain, tidak payah. Saya datang untuk memastikan jentera Wanita Umno dan BN bersiap sedia dan bersemangat," katanya.

Ditanya keadaan itu seolah-olah wujudnya tiada penyelarasan antara Ketua dan Naib Ketua Wanita, Rafidah berkata: "Tidak tahu pula, sebab semua orang datang. Hari ini pun saya panggil semua datang, semua Ketua Wanita negeri-negeri dijemput pada satu majlis lain petang ini."

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Wanita Umno dan Wanita BN begitu bersemangat untuk menarik sokongan golongan wanita yang berjumlah 40,489 orang daripada keseluruhan 80,229 pengundi Kuala Terengganu, bagi memastikan kemenangan calon BN.

Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana pemimpin Umno dan BN dari negeri lain, yang datang membantu pada pilihan raya kecil itu, supaya tidak "mengganggu" jentera pergerakan itu daripada melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Saya minta pucuk pimpinan Terengganu atau pemimpin negeri lain, kalau hendak buat mesyuarat, panggil semua sekali dan jangan buat secara individu. Sebab kita tiada masa lagi...," katanya.

Beliau berkata Wanita Umno akan menyokong sesiapa pun yang dipilih sebagai calon BN oleh pucuk pimpinan kerana apa yang lebih penting adalah untuk memastikan parti itu dapat mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Rafidah berkata Wanita Umno dan BN menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya isu agama dan perkauman tidak dibangkitkan dalam perjuangan politik mereka.




Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

17.12.08

Ujian Buat Ahmad Said Sebagai Menteri Besar




Khidmat cemerlang Allahyarham Datuk Razali Ismail sebagai Anggota Parlimen Kuala Terengganu dan langkah kerajaan pusat menyerahkan pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu mungkin meringankan beban Menteri Besar Datuk Ahmad Said untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu bulan depan.

Memang diakui bukan mudah bagi BN mempertahankan kerusi itu tetapi dua kelebihan itu dilihat oleh pemerhati politik di sini boleh membantu Ahmad dan jentera BN dalam misi itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 Nov lepas. Penamaan calon ialah pada 6 Jan dan pengundian ditetapkan pada 17 Jan.

"Kita akui mungkin berhadapan pertandingan sengit tapi kita akan tetap pertahankannya," kata Ahmad, 51, yang dilantik sebagai menteri besar pada 31 Mac lepas.

Persetujuan kerajaan pusat untuk menyerahkan pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri tentunya melegakan beliau.

Ahmad, yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri pada 14 Jun lepas bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, pastinya mahu membuktikan kepada rakyat Terengganu dan pucuk pimpinan Umno bahawa kepimpinan beliau diterima rakyat negeri itu.

Melihat perkembangan negeri di bawah pentadbiran Ahmad, ia memberi kelebihan kepada Umno dan BN terutama kejayaan beliau mendapatkan kembali royalti minyak yang dianggap satu kemenangan kepada rakyat Terengganu sendiri.

Selepas beberapa kali rundingan dengan kerajaan pusat, akhirnya pada 13 Dis lepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa selepas tarikh tersebut, kerajaan pusat akan "menyerahkan bulat-bulat" pengurusan wang royaliti minyak kepada kerajaan Terengganu.

Di sebaliknya dakwaan bahawa kerajaan Terengganu sebelum ini membelanjakan wang yang banyak untuk beberapa projek besar, Ahmad mengumumkan bahawa projek mega tidak lagi akan dilaksanakan selepas ini.

Sebaliknya kerajaan negeri akan melaksanakan lebih banyak program untuk manfaat rakyat, antaranya program e-Book bagi membekalkan komputer riba menggantikan buku sekolah kepada pelajar bermula tahun depan.

Kejayaan Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) buat pertama kali pada Mei lepas, juga memberi gambaran bahawa rakyat Terengganu juga mampu cemerlang dalam apa saja bidang termasuk sukan.

Pembinaan pelbagai infrastruktur sukan oleh kerajaan Terengganu untuk temasya tersebut seperti Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak serta Pusat Akuatik di Batu Burok, juga meningkatkan imej pembangunan sukan negeri Terengganu.

Lebih manis lagi, Terengganu buat pertama kalinya, muncul juara keseluruhan temasya tersebut sejak ia diperkenalkan pada 1986.

Perkhidmatan cemerlang Allahyarham Razali sendiri ketika mewakili kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak boleh dinafikan.

Beliau terkenal dalam kalangan pengundi Kuala Terengganu sebagai pemimpin yang rapat dengan rakyat dan amat disenangi oleh mereka.

Beliau merupakan pemimpin yang tidak memilih kasih dan sanggup membantu rakyat tidak kira apa jua fahaman politik mereka terutama dalam bidang pendidikan.

Sebagai anggota parlimen, Razali turut mempunyai misi besar untuk menjadikan Kuala Terengganu setaraf dengan pusat pentadbiran negeri lain melalui projek pembangunan Bukit Besar yang melibatkan pembinaan 25 pejabat kerajaan bagi mewujudkan satu kawasan pentadbiran berpusat.

Seorang penganalisis politik tempatan berkata pengundi di Kuala Terengganu perlu faham bahawa pilihan raya kecil ini bukan hanya proses mencari Anggota Parlimen baru sebaliknya bagi memilih wakil rakyat yang boleh meneruskan khidmat cemerlang kepada mereka yang dipelopori oleh Allahyarham Razali.

Pentadbiran Ahmad juga mendapat sokongan daripada pihak istana apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang juga Sultan Terengganu, mengilhamkan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu yang akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.

Pada pilihan raya umum lepas, Razali selaku penyandang, menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon Bebas dengan majoriti 628 undi. Razali memperoleh 32,562 undi manakala Mohamad Sabu mendapat 31,934 undi, dan calon Bebas, Maimun Yusof mendapat 685 undi.



Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

Persatuan Permotoran Terengganu tetap bersama BN



Persatuan Permotoran Terengganu (PPT) menafikan bersedia memberikan sokongan kepada calon Bebas dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Jan depan.

Presidennya, Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Burhanuddin Sultan Mahmud berkata kenyataan itu mengelirukan kerana persatuan itu tidak pernah memberikan sokongan kepada mana-mana calon Bebas untuk bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.

"PPT hanya memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Dua hari lepas, Isma Airfath Hassanuddin, 38, yang menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, berkata beliau mendapat sokongan daripada Kelab Permotoran Terengganu untuk tujuan tersebut.

Mengulas lanjut, Tengku Burhanuddin berkata sebagai sebuah badan bukan kerajaan, PPT akan membantu kerajaan daripada pelbagai segi dan tidak akan memberikan sokongan kepada mana-mana calon Bebas.

"Kita memberi sokongan kepada mana-mana calon BN nanti," katanya.

Tengku Burhanuddin berkata PPT mempunyai 12 kelab gabungan dengan jumlah keseluruhan keanggotaan seramai 1,178 orang.

Kelab tersebut ialah Kelab Skuter Klasik, Kelab Gen 2 Cawangan Terengganu, Kelab Motosikal Chopper Negeri Terengganu, Kelab Pemilik Proton Perdana Dungun, Terengganu Riders Club, Kelab Skuter Terengganu, Kelab Motor Terengganu, Kelab AEDES K.TEY Scooter, Persatuan Motosikal Klasik Terengganu, Kelab Kereta Mini Terengganu, Kelab Myvi Terengganu dan Kelab Kancil Terengganu.

Beliau seterusnya mengingatkan mana-mana calon Bebas supaya tidak melibatkan PPT dalam kempen politik mereka semasa pilihan raya kecil tersebut.




Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

15.12.08

Pemuda Umno akan gempur Pengundi Muda

Kelihatan En Mohd Sabri Alwi bersama YB Dato' Wan Ahmad Farid Melawat mangsa banjir
Di Kg Cendering Raja, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Pemuda Umno Terengganu akan mengadakan pelbagai program bagi menarik sokongan kira-kira 20,000 pengundi muda dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu, terhadap parti itu.


Ketuanya Mohd Sabri Alwi berkata langkah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan menyokong calon Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya kecil parlimen tersebut, 17 Januari depan.


"Kita akan mengadakan pelbagai program untuk mengesan serta menjejaki pengundi muda ini. Undi mereka dapat membantu kemenangan calon BN dalam pilihanraya kecil nanti," katanya di sini hari ini.


Beliau berkata Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan Pemuda Umno negeri dan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu supaya mengatur program-program bagi mendekatkan diri dengan golongan muda.


Mohd Sabri berkata pilihan raya kecil itu, cukup bermakna kepada Umno untuk memulihkan keadaan serta mengeratkan kembali perpaduan selepas pemilihan parti, baru-baru ini.


"Saya akui sedikit sebanyak pada pemilihan parti baru-baru ini berlaku kekecohan dan keretakan di kalangan ahli Umno. Melalui pilihanraya kecil ini kita akan dapat bersatu semula," katanya.


Beliau berharap anggota Umno terutamanya Pemuda supaya dapat melupakan apa jua krisis yang berlaku sebelum ini, sebaliknya memberi fokus terhadap pilihanraya kecil itu.


"Biarlah kita sama-sama melupakan dan tumpukan kepada pilihanraya kecil ini kerana matlamat kita ialah untuk memenangkan calon BN," katanya


Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

Hanya sebuah usaha kerdil

Salam sejahtera,

Kepada semua pengunjung budiman, selaku pengendali blog ini,banyak pertanyaan dan ulasan yang telah diterima.

Suka dijelaskan sepertimana posting pertama blog ini adalah satu usaha kerdil didalam menyemarakkan suasana PRK036.
Konsep blog ini adalah 'berita dari pelbagai sumber' selagi ianya tidak bercanggah dengan dasar dan polisi umno serta Barisan Nasional.

Bagi mereka-mereka yang ketinggalan atau tidak kesempatan membaca posting pertama sila bacanya disini

Terima Kasih.


Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

14.12.08

Saman Isu Royalti Belum Ditarik


Kerajaan Negeri mengesahkan pihaknya masih tidak menarik saman yang dikemukakan kepada Kerajaan Pusat berhubung isu royalti.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyatakan sehingga kini masih belum mengetahui hasil royalti yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri.

Jelasnya, Kementerian Kewangan sedang dalam proses mengesahkan jumlah dana khas yang sepatutnya diterima sebagai royalti.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam), pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama DUN Ke-12 di Wisma Darul Iman, hari ini (14 Disember).

Dato’ Ahmad berkata, sehingga hari ini, Kerajaan Negeri menerima secara terus ke akaun sebanyak RM 6.12 bilion termasuk dengan premium yang terakhir diterima semalam RM408.6 juta yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang menunggu senarai perbelanjaan yang digunakan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan wang royalti termasuk RM800 juta kepada negeri-negeri lain .

“Setakat yang disahkan oleh Kementerian Kewangan, RM 700 juta digunakan untuk Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membina rumah di negeri lain selain di Terengganu.

Jelas Dato’ Ahmad, keseluruhan itu menjadikan RM1.5 bilion akan dituntut kembali selepas memperoleh beberapa senarai lain yang dikehendaki masih tidak dapat disahkan oleh Kementerian Kewangan.


Ketika menjawab soalan tambahan dari Adun Wakaf Mempelam, Dato’ Ahmad berkata pihaknya mengakui sebahagian dari RM6.12 bilion turut digunakan membiayai projek pembangunan tertentu dan disalurkan menerusi Kerajaan Negeri.



“Setelah mendapat senarai lengkap, rundingan terakhir dengan Kerajaan Pusat untuk menuntut kembali baki yang ada itu dapat dilaksanakan,’ tambahnya.


Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

Pengundi Terengganu Matang Memilih Kerajaan Dan Pemimpin - Shafie


Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan pengundi Kuala Terengganu sebagai matang dan yakin mereka akan terus memilih calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu 17 Jan depan.

Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata kematangan dan kebijaksaan rakyat Terengganu itu terbukti apabila mereka memilih semula BN untuk membentuk kerajaan di negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

"Saya yakin pengundi di Kuala Terengganu amat matang. Kalau kita lihat dalam pilihan raya lalu mereka telah memberikan sokongan kepada kerajaan BN dengan mengembalikan tampuk pemerintahan negeri itu kepada BN," katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Rukun Tetangga sempena kempen "Jiranku Keluargaku" di sini malam tadi.

Beliau yakin pengundi Kuala Terengganu akan memberi kemenangan kepada BN demi kelangsungan pembangunan seterusnya bagi menjayakan usaha mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat negeri berkenaan.

Mengenai penghantaran jentera pilihanraya Umno dan BN dari Sabah untuk membantu rakan mereka berkempen di Kuala Terengganu, Shafie yang Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah berkata kebiasaannya Umno Sabah dan BN akan menghantar delegasi sebagai sokongan dan membantu rakan-rakan mereka di Kuala Terengganu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas penyandang kerusi kawasan berkenaan Datuk Razali Ismail meninggal dunia pada 28 Nov lalu.


Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

13.12.08

Nak menang, tapi macam tak nak menang - Najib

Setiap kali musim pilihan raya baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil, parti-parti yang bertanding akan menyuarakan keyakinan mereka akan meraih kemenangan. Para pemimpin dan pengikut parti akan melaungkan pelbagai slogan bagi membayangkan hasrat mereka untuk menang.

Namun bagi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, laungan atau luahan kata-kata semangat seumpama itu tidak memadai kerana ia perlu disusuli dengan tekad dan tindakan.

"Siapa nak kalah? semua mahu menang tetapi kadang-kadang kita luahkan saja UMNO akan menang atau saya nak menang tetapi amalan, perbuatan, tingkah laku kita tak cerminkan orang yang nak menang pilihan raya," katanya.

Sehubungan itu, di samping mahukan agar keinginan untuk menang ada di dalam hati setiap ahli UMNO, beliau turut menegaskan keinginan itu perlu dibuktikan melalui kerjasama dan kesepakatan sesama ahli-ahli parti.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan jentera pilihan raya UMNO dan menutup Pemukiman UMNO Terengganu di Taman Tamadun Islam hari Sabtu.

Najib yang menekankan perlunya semua pihak berusaha bersungguh-sungguh menjamin kemenangan parti pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 17 Januari depan, mahu setiap ahli meletakkan kepentingan parti serta menghormati keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

Katanya, calon yang diputuskan oleh parti mestilah mendapat sokongan daripada semua pihak dan setelah keputusan dibuat, semua harus bekerja untuk menjamin kemenangan parti.

Serentak dengan itu, beliau mengingatkan bahawa pengundi adalah faktor paling penting yang perlu diberi keutamaan oleh semua ahli-ahli UMNO termasuk calon yang bakal bertandingan pada pilihan raya kecil itu nanti untuk menjamin kemenangan parti itu.

"Kita mesti faham dalam masa pilihan raya yang lebih penting bukanlah jentera UMNO, bukan ketua cawangan dan bukan ahli jawatankuasa cawangan tetapi pengundi yang paling penting kerana mereka adalah "raja" semasa pilihan raya.

"Sesiapa saja jadi calon tak penting tapi yang utama dia mestilah seorang yang merendah diri, tidak sombong, mesra rakyat, bersalam dengan semua orang, buatlah cara yang disenangi pengundi kerana mereka juga akan sayang kita sebab perwatakan kita itu," katanya.

Dalam ucapannya juga Najib menegaskan bahawa kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil berkenaan penting bagi menunjukkan kebangkitan parti itu selepas kalah pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Ogos lalu.

“Kita mesti menang sebab kita nak jadikan kemenangan ini sebagai satu titik permulaan BN dan UMNO untuk bangkit dari kekalahan di Permatang Pauh.

“Kita nak bagi isyarat yang jelas kepada negara dan satu dunia yang rakyat negara ini memilih BN sebagai parti mereka,” kata beliau.


Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com

Pemimpin Parti Perlu Bersikap Rendah Diri

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak berucap ketika melancarkan Jentera Pilihanraya P036 Parlimen Kuala Terengganu di TTI, Kuala Terengganu.

imbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini menyarankan semua pemimpin parti sentiasa bersikap rendah diri dan berbudi bahasa untuk memenangi hati setiap lapisan masyarakat. “Tidak rugi jika kita selalu mendekati orang ramai dengan ramah dan sopan kerana mereka akan menyenangi dan memilih kita untuk menjadi pelindung mereka,” katanya di majlis penutup Pemukiman UMNO Terengganu dan Pelancaran Jentera Pilihanraya P036 Parlimen Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu hari ini (13 Disember).


Dato' Seri Najib menyerahkan bendera Barisan Nasional kepada jentera Pilihanraya sambil diperhatikan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said.
Katanya, jika mahu melihat perpaduan dan keharmonian diperingkat akar umbi, orang atasan hendaklah bersatu dan menunjukkan teladan yang baik agar dihormati oleh masyarakat. “Masyarakat tidak menilai seseorang pemimpin itu ada pangkat apa atau daripada universiti mana tetapi peribadi dan tingkah laku seseorang itu akan jadi perhatian mereka,” katanya.

Timbalan Presiden Umno menunjukkan replika "Undilah Barisan Nasional" sebagai gimik pelancaran Jentera Pilihan raya Kecil Kuala Terengganu.

Timbalan Perdana Menteri melahirkan harapan agar rakyat terutama di kawasan peti undi Parlimen Kuala Terengganu menerima Barisan Nasional.

Mengenai pilihanaraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Seri Najib melahirkan harapan agar semua orang menerima keputusan pucuk kepimpinan parti jika ingin melihat kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
“Jangan berlaku calon bukan pilihan, kita terus mengkhianati parti, jika inilah sikap mereka, pasti mereka bukan penyokong sebenar BN, mereka hanya bermuka-muka sebenarnya,” katanya.
Katanya, bila tiba pilihanraya, pengundi itulah raja yang akan menentukan kalah menang seorang calon, oleh itu jawatan ketua kampung atau ketua bahagian tidak penting yang perlu dijaga ialah pengundi di kampung-kampung.

Hantarkan berita PRK Kuala Terengganu ke:bnkualaterengganu@gamil.com